Monday 25 July 2011

Tugasan PBM


PENGENALAN
Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBM) adalah pendekatan pengajaran yang berasaskan Pendekatan Konstruktivisme. Perkembangan Pembelajaran Berasaskan Masalah atau “Problem Based Learning”  yang dikembangkan penggunaannya  kerana ia lebih efektif dalam penyelesian pemasalahan berkaitan  pembelajaran teori & Pengiraan. Konsep ini bermula pada 1950 an, dimana ia telah diaplikasi di Case Western Reserve Medical School, McMaster University Medical School dan University of Mexico Medical School.                       
Pengujian kaedah PBM telah terbukti berjaya, dan  pada 1980 an, Pihak USA menubuhkan konsortium bagi menghasilkan suatu konsep PBM yang lebih efisen dalam meningkatkan mutu akademik pelajar mereka. Model PBM telah di perjelaskan oleh Howard Barrows (1985,1992).
PBM adalah merupakan satu pendekatan pembelajaran yang digunakan bersandarkan kepada penyelesaian masalah yang akan diberikan oleh guru kepada pelajar. Permasalahan yang akan diberi kepada pelajar akan dirangka dan dirancang terlebih dahulu agar setiap strategi yang diambil oleh pelajar untuk menyelesaikan masalah tersebut akan dapat meliputi keseluruhan kurikulum yang ada. PBM adalah disokong oleh konsep pembelajaran secara kendiri bagi memudahkan para guru dan pelajar melalui proses pembelajaran yang lebih berkesan dan efektif.  PBM adalah merangkumi cabaran kepada keadaan penyelesaian masalah sebenar berkaitan topik yang dibincangkan, melibatkan peggunaan akal dan fikiran yang kritikal dan sepenuhnya, kemahiran meyelesaikan pemasalahan yang berkaitan, memenuhi keperluan dan disiplin kerja atau tugasan, pembelajaran yang kendiri, gerak kerja berpasukan dan menguasai kemahiran komunikasi, serta bertanggungjawab dan gigih dalam menyelesaikan sebarang masalah yang berkaitan.
LANGKAH PELAKSANAAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASALAH

Menurut Lynda Wee (2004), terdapat tujuh langkah dalam menerangkan proses PBM.
Langkah-langkah tersebut adalah seperti berikut :

  1.  Pembahagian             Kumpulan
    Pada peringkat ini, pelajar akan mengenali di antara satu sama lain dan pelajar akan membentuk kumpulan masing-masing. Seterusnya, ketua kumpulan dan pencatat akan dilantik dan        peraturan-peraturan             kumpulan        akan    dibentuk.

  1. Mengenalpasti            Masalah
    Pelajar akan dikemukakan dengan masalah untuk diselesaikan. Pelajar perlu mengenalpasti dan mengesahkan masalah tersebut dan menyatakan masalah tersebut berdasarkan fakta-fakta yang diperolehi. Proses mengenalpasti masalah melibatkan elemen-elemen pencetus idea terhadap masalah yang ingin dikaji, juga dikenali sebagai trigger. Trigger boleh didapati dalam bentuk gambar, petikan surat khabar, klip video, petikan jurnal dan juga kejadian sebenar yang berlaku. Trigger ini akan menyebabkan sesuatu isu dipersoalkan, diperdebatkan dan memberi petunjuk kepada penyelesaian masalah tersebut.

  1. Menjana Idea
    Pada peringkat ini, pelajar dalam kumpulan akan mengeluarkan idea-idea yang dapat membantu dalam proses penyelesaian masalah tersebut.         

  1. Isu Pelajaran  
    Pelajar perlu mengenalpasti apakah yang perlu dipelajari dan mencari isu-isu yang dapat membantu mereka untuk menyelesaikan masalah serta mengetahui apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi menyelesaikan masalah tersebut. Seterusnya, pelajar akan mengenalpasti tindakan yang sesuai untuk menyelesaikan masalah yang diberikan.

  1. Pembelajaran Kendiri
    Pada peringkat ini, pelajar akan mencari dan merumuskan informasi-informasi yang relevan dan logic dengan masalah yang diberikan.                                           

  1. Sintesis Dan Aplikasi
    Punca-punca informasi perlu disahkan kesahihannya terutamanya daripada Internet. Pelajar akan mula berkongsi maklumat dengan pelajar yang lain dan mengaplikasikan maklumat yang diperolehi untuk menyelesaikan masalah tersebut. Seterusnya, pelajar akan berbincang, membangunkan penyelesaian dan membuat penerangan terhadap penyelesaian yang diambil.

  1. Refleksi dan Tindakbalas                    
    Pada peringkat ini, pelajar akan memberi tindak balas terhadap kerja kumpulan, kerja individu, penjanaan pengetahuan, penyelesaian masalah dan juga peranan fasilitator. Seterusnya, perbincangan akan dilakukan dalam kumpulan masing-masing.


MASALAH YANG BERKAITAN DENGAN MATA PELAJARAN
PENDIDIKAN ISLAM

  1. PONTENG KELAS AL QURAN DAN FARDHU AIN (KAFA)
Sejak akhir-akhir ini, pihak pengurusan KAFA sekolah mendapati kehadiran murid ke kelas KAFA pada setiap hari Ahad, Isnin dan Selasa semakin merosot. Ini menyebabkan ramai murid yang ketinggalan dalam pembelajaran dan amat membimbangkan  pihak pentadbir sekolah. Pihak sekolah berhasrat untuk mengambil tindakan yang sepatutnya kepada pelajar terbabit. Bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah ini? Cadangkan langkah-langkah untuk menggalakkan murid  hadir ke kelas KAFA. Sila bincangkan dalam kumpulan anda. Bentangkan hasil kerja kumpulan anda dalam kelas yang akan datang.


  1. PONTENG SOLAT BERJEMAAH  DI SURAU SEKOLAH
Sebagaimana yang telah sedia maklum, semua murid KAFA dikehendaki berada di surau sekolah untuk Solat Zohor berjemaah pada jam 1.30 petang dan juga Solat Asar berjemaah pada jam 4.30 petang. Amat mendukacitakan apabila terdapat segelintir pelajar yang ponteng solat berjemaah tersebut. Mereka bersembunyi di dalam tandas, di dalam kelas dan di belakang bangunan sekolah. Senario ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana dibimbangi akan mempengaruhi kawan-kawan yang lain. Kenapa masalah ini wujud ? Sila bincangkan apakah langkah-langkah sewajarnya untuk mengatasi masalah ini. Bentangkan hasil kerja kumpulan anda dalam kelas yang akan datang.

  1. MASALAH PEMBELAJARAN JAWI DAN AL QURAN
Pihak sekolah mendapati ramai di kalangan pelajar sekolah ini tidak boleh membaca Jawi dan Al Quran. Ia menyebabkan menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Pelajar tidak menunjukkan minat yang mendalam dan belajar secara sambil lewa sahaja. Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia akan menyebabkan pelajar  tidak dapat menjawab soalan peperiksaan kerana semua soalan adalah dalam tulisan Jawi. Langkah-langkah untuk mengatasinya perlu diambil sebelum masalah ini menjadi semakin rumit. Apakah langkah yang perlu diambil untuk mengatasinya? Bagaimanakah cara untuk memupuk minat pelajar ? Anda diminta membincangkannya dalam kumpulan.  Bentangkan hasil kerja kumpulan anda dalam kelas yang akan datang.

  1. TIDAK MENGAMALKAN BUDAYA SALAM
Sekolah kita telah melancarkan Budaya Salam pada perhimpunan minggu lepas. Guru juga sentiasa mengingatkan pelajar untuk mengamalkan budaya memberi salam setiap kali berjumpa dengan guru sama ada di kawasan sekolah atau pun di luar kawasan sekolah. Namun, masih terdapat sebilangan kecil pelajar yang tidak menghiraukan ucapan salam ketika bertemu dengan guru. Ini amat mendukacitakan kerana ia membayangkan hilangnya rasa hormat murid terhadap guru dan juga tidak mematuhi peraturan sekolah. Sila bincangkan dalam kumpulan anda tentang cara-cara mengatasi masalah ini.  Senaraikan juga langkah-langkah untuk menghayati budaya memberi salam. Bentangkan hasil kerja kumpulan anda dalam kelas yang akan datang.
CABARAN DALAM MELAKSANAKAN PBM
  1. Memakan Masa Yang Lama
Kaedah PBM memerlukan masa yang lama untuk dilaksanakan. Bermula dengan pembahagian permasalahan kepada pelajar, perbincangan kumpulan, pencarian bahan dan hari pembentangan. Ini akan mendatangkan masalah sampingan kerana guru perlu merancang dengan teliti bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran lain tidak akan terhalang dengan adanya aktiviti PBM. Kadang kala pembelajaran terpaksa diberhentikan mengikut ketetapan jadual waktu   mata pelajaran sedangkan pada ketika itu pelajar-pelajar berada pada tahap teruja untuk menjalani proses PBM. Dalam perkara ini guru meminta pelajar meneruskan perbincangan dalam kumpulan di luar waktu persekolahan. Dalam pada itu, pelajar juga akan ketinggalan dalam pembelajaran kerana banyak menumpukan masa bagi mengkaji masalah yang diutarakan.

  1. Memerlukan Komitmen Yang Tinggi
Semua ahli dalam kumpulan akan memastikan mereka adalah kumpulan yang akan mendapat markah yang tertinggi semasa penilaian dibuat iaitu pada hari pembentangan hasil kerja. Pelajar akan memberi komitmen yang sepenuhnya bagi memastikan ia tercapai. Dalam hal ini, pelajar terbabit akan berusaha mencari bahan yang berkaitan bagi bersaing dengan kumpulan lain dalam kelas mereka. Ia akan menyebabkan pelajar berasa tertekan sekiranya tidak mendapat bahan yang sesuai dan akan timbul perasaan kurang senang apabila melihat kumpulan lain lebih hebat dari mereka. Selain dari itu pelajar terpaksa memberi lebih ruang dalam kehidupan seharian bagi menyiapkan tugasan ini dan mengabaikan mata pelajaran lain. Keadaan ini akan menimbulkan masalah kepada prestasi pembelajaran mereka.

  1. Memerlukan Sumber Yang Pelbagai
Dalam menyiapkan suatu tugasan, pelajar memerlukan sumber yang pelbagai bagi memastikan tugasan tersebut memenuhi kehendak guru. Keadaan ini menjurus kepada pencarian bahan di internet atau pun di perpustakaan. Perkembangan proses pembelajaran ini melibatkan bahan rujukan dan bacaan yang sesuai, membuat kajian yang relevan dan membuat cadangan yang terbaik bagi membentangkan dapatan. Keadaan ini dibimbangi akan mengganggu prestasi pelajar kerana ia memerlukan penumpuan yang khusus dari segi masa, tenaga dan wang ringgit.bagi menghasilkan dapatan yang bermutu. 

  1. Tahap Kepintaran Pelajar Yang Berbeza
Tahap kepintaran yang berbeza di kalangan pelajar akan menimbulkan situasi di mana pelajar  lebih pintar akan mendominasi aktiviti di dalam kumpulan. Percambahan idea tidak akan wujud kerana biasanya  hanya pelajar pintar yang lebih aktif dalam proses mencari sumber dan mengembangkan idea serta menghasilkan suatu tugasan dalam bentuk yang dikehendaki oleh guru. Ini mengakibatkan pelajar yang kurang aktif tidak mendapat manfaat dari kaedah pembelajaran PBM. Mereka tidak berupaya untuk mengeluarkan pendapat dan pandangan. Di sini akan wujudnya jurang atau pun diskriminasi antara ahli kumpulan yang akan menyebabkan minat mereka berkurang.


KESIMPULAN
            Secara amnya, jelas membuktikan bahawa Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) mampu untuk melahirkan dan mendidik pelajar menjadi seorang pemimpin yang mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah. Selain itu, pelajar dapat meningkatkan minat dan motivasi untuk terus belajar, membina kemahiran pemikiran kritis dan kreatif, menganalisis dan menyelesaikan masalah. Oleh hal demikian, pelajar dapat meningkatkan pemahaman dan pengetahuan isi pelajaran bagi sesuatu matapelajaran dengan mudah dan mendalam. Secara tidak langsung dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar tersebut.

Banyak kajian yang membuktikan bahawa kaedah PBM mampu meningkatkan kemahiran generik para pelajar terutamanya dalam kemahiran menyelesaikan masalah. Kenyataan ini disokong oleh Hasyamuddin dan Rahifa (2005) bertajuk “Kemahiran Generik Dalam Kelas Bercirikan Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) di Kalangan Pelajar Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) mendapati bahawa PBL membantu pelajar dalam memperolehi kemahiran generik dan penglibatan aktif dalam kelas berbanding pelajar  yang  menggunakan  kaedah           kuliah.

Tegasnya, kaedah PBM banyak menekankan dan menitikberatkan cara pelajar menganalisis masalah dan penyelesaiannya. Kemahiran ini adalah penting bagi melahirkan dan mendidik bakal-bakal pemimpin yang bertanggungjawab dan berkeyakinan dalam menyelesaikan masalah dan mampu untuk membuat keputusan yang tepat dan adil. Secara amnya, kaedah PBM boleh dijadikan salah satu pendekatan dan latihan yang berkesan untuk melahirkan pemimpin-pemimpin yang menpunyai jati diri yang kuat, berwawasan tinggi, mengamalkan cara komunikasi yang betul, dan kemahiran membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dengan tepat. Para guru pula yang bertidak sebagai fasilitator perlu mempunyai pengetahuan yang luas bagi merangsang pemikiran pelajar dalam menjana suatu idea.

No comments:

Post a Comment