Monday 25 July 2011

Tugasan Autentik


Pengenalan
Sistem pendidikan di Malaysia yang berorientasikan peperiksaan kini akan diubah secara berperingkat  menjelang tahun 2011. Dengan ini, satu sistem penaksiran baru akan diperkenalkan yakni berbentuk holistik agar dapat memenuhi Falsafah Pendidikan Negara yang memerlukan insan mulia sebagai peneraju generasi akan datang. Kini, ramai dikalangan ibu bapa berpendapat bahawa peperiksaan atau ujian bertulis tidak sesuai lagi digunakan dalam sistem pendidikan kita terutamanya dalam pendidikan awal kanak-kanak. Ini adalah kerana, terdapat ketidakadilan dari segi item ujian yang bersandarkan kepada norma dan dan pengalaman kumpulan tertentu dalam masyarakat yang boleh mempengaruhi kesahan sesuatu ujian          (Stallman&Pearson,1990).

Pentaksiran autentik merupakan salah satu jalan penyelesaian kepada ketidakadilan ini. Ini adalah kerana sifat pentaksiran autentik yang menyeluruh boleh diguna pakai dalam menaksir setiap perkembangan kanak-kanak melalui instrumen yang pelbagai. Penaksiran autentik menurut Pert (1990) merupakan bentuk penilaian yang berdasarkan pencapaian sebenar yang ditunjukkan oleh kanak-kanak di dalam bilik darjah setiap hari. Penaksiran autentik ini meliputi penaksiran dari pelbagai aspek merangkumi pengetahuan pelajar, pemahaman mendalam, penyelesaian masalah, kemahiran sosial, sikap terhadap persekitaran, dan simulasi terhadap situasi dunia sebenar. Dalam erti kata lain, penaksiran autentik ini juga merupakan suatu proses yang melibatkan pelbagai bentuk pengukuran prestasi yang boleh mereflek tahap pembelajaran pelajar, kejayaan, motivasi dan sikap pada aktiviti yang releven. Menurut Grace, (1992), penilaian autentik ini merupakan amalan yang membabitkan kanak-kanak secara realistik dalam menilai kemajuan mereka sendiri. Ia juga melibatkan penaksiran yang dilakukan secara berterusan. ‘Realistik’ dan ‘bermakna’ merupakan terma yang sering digunakan dalam penaksiran autentik.
(Sumber:         Buku   Educational    Assessment     of        Students)

Melalui penaksiran autentik ini, ia dapat memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang ada pada mereka melalui cara yang berkaitan dengan kehidupan mereka dan tidak tertakluk kepada kemahiran dan pengetahuan di sekolah sahaja. Terdapat pelbagai kaedah atau teknik yang boleh digunakan untuk menjalankan penaksiran autentik ini contohnya melalui portfolio, pemerhatian, rekod anekdot dan pelbagai lagi. Dengan ini dapat disimpulkan bahawa, penaksiran autentik ini adalah subset kepada alternatif proses penaksiran yang mana ia menggunakan spektrum yang lebih luas untuk melihat perkembangan pelajar dengan lebih menyeluruh dan bukan hanya tertakluk kepada ujian semata-mata. Spektrum yang luas ini merangkumi situasi pembelajaran yang sebenar meliputi kehidupan seharian pelajar dan bermakna.    

TUJUAN PENAKSlRAN AUTENTIK
Penaksiran autentik adalah untuk pemahaman yang lebih jelas dalam menganalisis keperluan kaedah penilaian ini dalam bidang pendidikan. Antara tujuannya ialah:
Ø  Membimbing murid menggunakan pengetahuan dengan lebih bermakna.
Ø  Mendedahkan murid dengan  pelbagai kemahiran (contohnya, penulisan, penyelidikan, perdebatan, kemahiran komunikasi dan kemahiran berfikir secara kritis)
Ø  Memberi pelajar peluang untuk memperbaiki dan melakukan penambahbaikkan melalui pemikiran kritis dari masa ke semasa dalam memperoleh kejayaan pada masa hadapan.
Ø  Merangsang murid menggunakan kombinasi kemahiran, pengetahuan, kemampuan yang ada dalam dunia sebenar.
Ø  Mencungkil kemahiran pelajar di samping memberi peluang kepada pelajar untuk memperbaiki diri agar dapat dinilai dengan lebih baik lagi pada masa hadapan.
 

KEPELBAGAIAN KAEDAH PENTAKSIRAN AUTENTIK
O’ Malley dan Pierce telah mengkategorikan kepelbagaian kaedah penaksiran autentik dan tingkahlaku kanak-kanak yang boleh diperhatikan dan didokumentasikan. Contohnya adalah seperti berikut :
Ø  Temubual / Bersoal jawab - Guru bertanya kepada kanak-kanak tentang latar belakang, aktiviti, minat dan lain-lain lagi
Ø  Penceritaan semula / Bercerita - Kanak-kanak bercerita melalui pengalaman atau melalui pembacaan mereka
Ø  Sampel penulisan - Kanak-kanak bercerita, memberikan penjelasan melalui penulisan.
Ø  Pameran - Kanak-kanak bekerjasama dalam kumpulan untuk melaksanakan projek atau pameran melibatkan persembahan atau pameran.
Ø  Eksperimen/ Demostrasi - Kanak-kanak mendemostrasikan eksperimen, melaksanakan prosedur mengikut langkah yang ditetapkan dan mendokumentasikan hasil eksperimen.
Ø  Pemerhatian guru - Guru melakukan pemerhatian dengan mendokumentasikan tumpuan dan interaksi pelajar di dalam kelas dan kerjasama di dalam aktiviti kelas.
Ø  Portfolio - Guru mengumpul koleksi hasil kerja kanak-kanak untuk melihat perkembangan dari masa ke semasa.                       

Kaedah yang dinyatakan di atas merupakan beberapa kaedah yang boleh digunakan dalam pentaksiran autentik. Melalui kaedah di atas, guru dapat melihat perkembangan kanak-kanak  secara menyeluruh contohnya dari segi kemahiran berkomunikasi, bekerjasama, sahsiah dan lain lain lagi.                                                                                                                      
     
3 Jenis Penaksiran Autentik yang sesuai dilaksanakan bagi mata pelajaran Pendidikan Islam

  1. Eksperimen / Demonstrasi

Eksperimen atau Demonstrasi merupakan salah satu penaksiran autentik yang sering
digunakan dalam mengakses tahap kefahaman murid tentang topik yang diajar. Penilaian ini berkait rapat dengan mata pelajaran Ibadat dan ia dilakukan di Musalla. Ia berkaitan dengan perlakuan solat yang merangkumi Solat Fi’li (Perbuatan Solat) dan Solat Qauli (Bacaan Dalam Solat). Dalam penaksiran ini, murid dikehendaki melakukan amali solat secara individu dan guru akan membuat penilaian berdasarkan perlakuan solat yang didemonstrasikan oleh murid.
Penilaian ini juga dibuat dalam mata  pelajaran Al-Quran iaitu penilaian bacaan secara Talaaqi Musyafahah.  Ia bermaksud murid dikehendaki membaca ayat-ayat Al-Quran berhadapan dengan guru. Murid akan diberikan markah dan juga penambahbaikkan terhadap bacaan murid secara langsung . Penaksiran ini amat sesuai dilaksanakan bagi Ujian Penilaian Kelas Kafa bagi murid Tahun 5 dan Penilaian Asas Fardhu Ain bagi murid Tahun 6.



  1. Temuabual/Bersoal jawab

Kaedah ini sesuai digunakan bagi semua elemen dalam mata pelajaran Pendidikan Islam. Pada tahun 2011, murid-murid Tahun Satu secara keseluruhannya akan dinilai prestasi mereka melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah. Melalui kaedah ini, guru-guru boleh menilai tahap kefahaman murid sebaik sahaja selesai proses pengajaran dan pembelajaran atau di luar waktu pembelajaran. Murid akan dinilai secara individu dengan menggunakan instrumen yang berkaitan. Markah akan diberi berdasarkan jawapan yang diberi oleh murid dan guru akan menanda tahap prestasi  mengikut aras (band) yang telah ditetapkan. Semua standard prestasi murid bagi semua mata pelajaran akan di ‘key in’ ke dalam satu program PBS secara online dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia.
Berdasarkan pengalaman, kaedah ini memudahkan tugas guru kerana ia tidak mengambil masa yang panjang dan juga tidak membebankan murid.  Murid akan dikategorikan mengikut tahap masing-masing. Dalam hal ini, Guru Pendidikan dan Guru jQaf akan bergabung tenaga untuk memberi aktiviti pengukuhan dan pengayaan kepada murid yang telah menguasai kemahiran dan pemulihan kepada murid yang belum menguasai kemahiran.


  1. Pemerhatian Guru

Pemerhatian adalah satu bentuk penilaian autentik yang membantu guru membimbing murid meningkatkan keupayaan mereka secara individu. Ia bertujuan membantu murid mengaplikasikan pengetahuan yang diperolehi daripada mata pelajaran yang berlainan dalam kehidupan seharian. Ia boleh digunakan untuk mengesan hasil pembelajaran dengan serta merta dan mengesan kekuatan dan kelemahan murid selepas beberapa kali proses pembelajaran dengan menggunakan instrumen tertentu seperti senarai semak atau catatan anekdot.
Proses pemerhatian berlaku secara timbal balik dan sepadu di mana sambil mengajar murid membaca Al Quran secara Tallaqi Musyafahah, seorang guru membuat pemerhatian sama ada murid tersebut telah menguasai apa yang dipelajari atau belum dan dia tahu sama ada murid tersebut perlu mengulang balik atau beralih ke bacaan yang lebih tinggi. Di samping itu, guru akan menerapkan nilai-nilai murni dan akhlak mulia yang holistik sifatnya semasa proses tersebut berjalan. Dalam hal ini guru tidak perlu mengadakan ujian atau peperiksaan yang formal tetapi  tetap menggunakan proses pengajaran, pembelajaran dan penaksiran yang sepadu.

Kesimpulan

Penggunaan penaksiran autentik ini merentasi semua peringkat pendidikan. Dengan ini, diharap pihak kementerian atau badan-badan berkanun dan swasta dapat menghasilkan sesuatu garis panduan baru tentang bentuk penaksiran yang lebih sejagat dan mantap.
Penaksiran yang berkesan bukan hanya bergantung kepada bagaimana tafsiran dan analisis dilakukan tetapi bagaimana menggunakan instrumen terhadap sesuatu domain perkembangan kanak-kanak itu juga amatlah penting. Sehubungan dengan itu, guru-guru perlu memahami, mahir, dan berupaya mengamalkan penggunaan pelbagai jenis instrumen penaksiran yang sesuai dengan sasaran utama pendidikan . Guru-guru juga harus melakukan refleksi kritikal terhadap amalan yang digunakan agar dapat mengenal pasti kelemahan yang wujud ketika sesi pengajaran, pembelajaran dan penasiran.
Secara kesimpulannya, usaha dalam mewujudkan sistem pentasiran autentik yang selaras memerlukan keperihatinan dan penelitian yang berterusan dari semua pihak. Pemantauan juga perlu dilakukan dari masa ke semasa agar dapat memastikan pentasiran yang dijalankan adalah telus. Seperti mana yang berlaku kepada pendidikan yang sentiasa berkembang mengikut peredaran semasa, begitu juga halnya dengan penaksiran. Ia juga perlu berkembang mengikut peredaran semasa kerana ia memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu kejayaan sistem pendidikan dari peringkat awal kehidupan manusia.

No comments:

Post a Comment